Sunday, 22 June 2014

Otai rock gegar karnival

Kejayaan Allahyarham M Shariff menganjurkan konsert pop yeh yeh 60-an di Stadium Merdeka pada 1985 sehingga mengembalikan kegilaan terhadap muzik itu menjadi inspirasi buat penganjur Karnival Evolusi 2014 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis, Pahang pada 20 hingga 22 Jun ini.
Penganjurnya, Mus Satira bersama Majlis Daerah Lipis (MDL) berharap sambutan serupa dalam karnival yang menampilkan 15 kumpulan rock 80-an dan 90-an seperti Bloodshed, Handy Black, Sejati, Ayie LeonBlank Gamma, Masa Scarecrow,Gravity, Satira, Lan Gamma, Poey Sting, Junction, Putra, Lela, Afie Utopia dan Dwan Olan.
Mus yang juga pemain gitar kumpulan Satira yang popular pada era 90-an menyimpan angan-angan Karnival Evolusi 2014 akan mencetuskan dimensi baru buat kumpulan rock otai mengembalikan semula kegemilangan mereka terutama dalam generasi baru.
“Konsert ini bermatlamat mengubah persepsi dalam kalangan kumpulan rock. Dulu semuanya diuruskan syarikat rakaman, tapi sekarang kita kena berubah. Ada dalam kalangan mereka terbitkan single baru dan cetak 1,000 keping, tapi malangnya hanya 200 keping saja terjual. Apa jadi dengan baki yang ada?
FotoKUMPULAN Satira (dari kiri) Mus, Doran, Aub dan Zul.
“Di sini timbul idea untuk membantu mereka dengan menetapkan syarat sesiapa yang nak menonton perlu membeli single ini dengan harga RM35 bagi membolehkan mereka menonton persembahan untuk tiga malam. Pembelian tak terhad kepada single mana-mana artis asalkan mereka ikut syarat kami,” katanya.
Mus berkata, sepatutnya karnival ini dicadangkan bermula di Kluang, Johor sebelum beralih ke Behrang, Perak dan seterusnya ke Kuala Lipis. Bagaimanapun kesukaran mendapatkan permit membuatkan pihaknya menukar fikiran dan hanya mengadakan di Kuala Lipis.
“Tak susah untuk saya kumpulkan artis otai kerana sebelumnya mereka terbabit dengan program Rockers Apa Khabar di RTM. Kesungguhan pemuzik otai ini menjadi bukti mereka masih aktif menyanyi sama ada bersama kumpulan asal ataupun solo.
“Satira sendiri menjadi penanda aras buat kumpulan lain, tapi bukanlah bermaksud kami bagus. Satira adalah kumpulan yang berkonsep progresif heavy metal dan kami hanya nak menumpang populariti kumpulan lain yang popular. Ini ialah konsep bantu membantu sesama sendiri,” katanya.
Menurutnya yang tampil dengan album terbaru Satira berjudul Paradoks, kawasan luar bandar menjadi pilihan berbanding ibu kota kerana peminat di sana lebih menghargai artis yang membuat persembahan.
“Tiada guna sewa dewan yang besar, tapi yang datang hanya 200 penonton. Pasaran di kampung lebih berpotensi menarik masyarakat dan kami berharap sambutan yang diterima menggalakkan. Untuk permulaan kami meletakkan harga tiket RM35. Harga untuk konsert seterusnya mungkin akan bertambah, tapi ia tak melebihi RM50.
“Artis yang muncul nanti akan menyanyikan lagu lama selain lagu baru. Peralatan dan sistem bunyi sama seperti ketika konsert Loudness di Kuala Lumpur dan ditaja sepenuhnya oleh Heaven Studio,” katanya yang juga menguruskan studio berkenaan.
Mus gembira dengan penerimaan peminat yang baik terhadap otai rock ketika muncul sebagai artis undangan dalam Kilauan Emas dan percaya mereka mampu bangkit menggegarkan industri muzik jika diberi peluang sepenuhnya.
Karnival Evolusi 2014 turut menampilkan Forum Perdana Ehwal Islam, Sukaneka, Pertandingan Battle of The Band, Pertandingan karaoke dewasa dan kanak-kanak pada sebelah siang. Manakala konsert artis pula bermula pada jam 8.45 malam.

No comments:

Post a Comment