Sunday 22 June 2014

Festival Empire Rock 2014

Sapa2 nak dpatkan tket ke knsert Festival Empire Rock 2014 sila jmpa team Empire di Kuala Lipis hri ini hngga ke mlm…atau call sya trus utk mklumat trkini…011 153 158 31
1
Festival Empire Rock 2014
Putra
Junction
Samudera
Sofea
Sejati
Tarikh : 23/8/2014
Bertempat : Lanai, Matic. Jln Ampang Kuala Lumpur
Masa : 8-45 mlm
 1

Otai rock gegar karnival

Kejayaan Allahyarham M Shariff menganjurkan konsert pop yeh yeh 60-an di Stadium Merdeka pada 1985 sehingga mengembalikan kegilaan terhadap muzik itu menjadi inspirasi buat penganjur Karnival Evolusi 2014 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis, Pahang pada 20 hingga 22 Jun ini.
Penganjurnya, Mus Satira bersama Majlis Daerah Lipis (MDL) berharap sambutan serupa dalam karnival yang menampilkan 15 kumpulan rock 80-an dan 90-an seperti Bloodshed, Handy Black, Sejati, Ayie LeonBlank Gamma, Masa Scarecrow,Gravity, Satira, Lan Gamma, Poey Sting, Junction, Putra, Lela, Afie Utopia dan Dwan Olan.
Mus yang juga pemain gitar kumpulan Satira yang popular pada era 90-an menyimpan angan-angan Karnival Evolusi 2014 akan mencetuskan dimensi baru buat kumpulan rock otai mengembalikan semula kegemilangan mereka terutama dalam generasi baru.
“Konsert ini bermatlamat mengubah persepsi dalam kalangan kumpulan rock. Dulu semuanya diuruskan syarikat rakaman, tapi sekarang kita kena berubah. Ada dalam kalangan mereka terbitkan single baru dan cetak 1,000 keping, tapi malangnya hanya 200 keping saja terjual. Apa jadi dengan baki yang ada?
FotoKUMPULAN Satira (dari kiri) Mus, Doran, Aub dan Zul.
“Di sini timbul idea untuk membantu mereka dengan menetapkan syarat sesiapa yang nak menonton perlu membeli single ini dengan harga RM35 bagi membolehkan mereka menonton persembahan untuk tiga malam. Pembelian tak terhad kepada single mana-mana artis asalkan mereka ikut syarat kami,” katanya.
Mus berkata, sepatutnya karnival ini dicadangkan bermula di Kluang, Johor sebelum beralih ke Behrang, Perak dan seterusnya ke Kuala Lipis. Bagaimanapun kesukaran mendapatkan permit membuatkan pihaknya menukar fikiran dan hanya mengadakan di Kuala Lipis.
“Tak susah untuk saya kumpulkan artis otai kerana sebelumnya mereka terbabit dengan program Rockers Apa Khabar di RTM. Kesungguhan pemuzik otai ini menjadi bukti mereka masih aktif menyanyi sama ada bersama kumpulan asal ataupun solo.
“Satira sendiri menjadi penanda aras buat kumpulan lain, tapi bukanlah bermaksud kami bagus. Satira adalah kumpulan yang berkonsep progresif heavy metal dan kami hanya nak menumpang populariti kumpulan lain yang popular. Ini ialah konsep bantu membantu sesama sendiri,” katanya.
Menurutnya yang tampil dengan album terbaru Satira berjudul Paradoks, kawasan luar bandar menjadi pilihan berbanding ibu kota kerana peminat di sana lebih menghargai artis yang membuat persembahan.
“Tiada guna sewa dewan yang besar, tapi yang datang hanya 200 penonton. Pasaran di kampung lebih berpotensi menarik masyarakat dan kami berharap sambutan yang diterima menggalakkan. Untuk permulaan kami meletakkan harga tiket RM35. Harga untuk konsert seterusnya mungkin akan bertambah, tapi ia tak melebihi RM50.
“Artis yang muncul nanti akan menyanyikan lagu lama selain lagu baru. Peralatan dan sistem bunyi sama seperti ketika konsert Loudness di Kuala Lumpur dan ditaja sepenuhnya oleh Heaven Studio,” katanya yang juga menguruskan studio berkenaan.
Mus gembira dengan penerimaan peminat yang baik terhadap otai rock ketika muncul sebagai artis undangan dalam Kilauan Emas dan percaya mereka mampu bangkit menggegarkan industri muzik jika diberi peluang sepenuhnya.
Karnival Evolusi 2014 turut menampilkan Forum Perdana Ehwal Islam, Sukaneka, Pertandingan Battle of The Band, Pertandingan karaoke dewasa dan kanak-kanak pada sebelah siang. Manakala konsert artis pula bermula pada jam 8.45 malam.

Monday 19 May 2014

Godzilla 2014 lebih perkasa

Bergelar raja segala raksasa, nama Godzilla cukup dikenali di seluruh dunia selepas filem pertama mengenai raksasa mutan itu ditayangkan di Jepun pada 1954.
Pada asalnya, filem itu sebagai simbolik tragedi pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki, seterusnya melahirkan seekor makhluk akibat pencemaran radiasi yang digelar Gojira.
 
Bagaimanapun, penonton di luar Jepun tidak berpeluang menyaksikan cerita asal filem itu berikutan keseluruhan karya terbabit disunting sepenuhnya dua tahun kemudian untuk membuang segala rujukan mengenai peperangan itu. Malah, bintang terkenal Amerika Syarikat, Raymod Burr turut diselitkan dalam jalan cerita dan nama raksasa itu ditukar kepada Godzilla. 

Enam dekad kemudian, raksasa radioaktif itu kembali ke layar perak bulan ini mengancam keselamatan manusia serta berlawan dengan dua makhluk pemusnah.

Menampilkan barisan bintang hebat Aaron Tay­lor-Johnson, Bryan Cranston, Elizabeth Olsen, Ken Watanabe, Juliette Binoche, David Strathairn dan Richard T Jones, filem Godzilla sudah ditayangkan di pawagam di seluruh negara sejak Khamis lalu.

Arahan Gareth Edwards, filem menelan perbelanjaan sebanyak RM517.44 juta itu adalah olahan semula karya asal Godzilla selain juga filem kedua terbitan Amerika Syarikat. 

Bezanya kali ini, saiz Godzilla digandakan ke ketinggian 110 meter berbanding 50 meter dalam filem asal pada 1954. 

Seiring dengan peredaran masa, karakter Godzilla tidak lagi dimainkan oleh manusia dalam kostum sebaliknya pergerakannya dihasilkan mengguna CGI selain memberi beberapa perubahan pada rupa raksasa itu. 

Menceritakan mengenai pembikinan filem Godzilla, Edwards berkata, penggambaran babak lagak ngeri payung terjun serta menghasilkan rekaan dua makhluk pemusnah yang digelar Massive Unidentified Terrestrial Organisms (Muto) adalah paling 
sukar. 

“Babak Aaron dan pasukannya terjun menggunakan payung terjun memang sukar. Kami merakamkan aksi terjun dalam formasi bulatan di sebuah gurun pada waktu senja. Sebenarnya babak terjunan udara paling ba­nyak digunakan kerana aksi itu kelihatan lebih realistik,” katanya. 

Mengenai rekaan Muto pula, pengarah berusia 39 tahun itu berkata, makhluk berkenaan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan bagi mendapatkan karakter paling sesuai. 

“Sebenarnya Godzilla lebih senang direka kerana kami menggunakan konsep serta beberapa ciri raksasa itu dari filem asal. 

“Rujukan beberapa filem raksasa seperti Jurassic Park, Alien, Star Ship Troopers dan King Kong sebagai sumber inspirasi menghasilkan karakter Muto. Makhluk itu dihasilkan menggunakan kain dan rekaannya harus menampakkan ia semula jadi dan mempunyai pergerakan yang mudah,” jelasnya. 

Menggemari filem raksasa Jepun sejak kecil, Edwards berkata, ngauman Godzilla dalam filem itu ditambah baik oleh penata bunyi Erik Aadahl dengan menggunakan mikrofon yang berupaya merakam frekuensi ultra tinggi. 

“Ngauman asal raksasa itu dihasilkan dengan meng­gunakan sarung ta­ngan kulit yang digosok pada tali gitar bass. Bu­nyi itu unik dan tidak dapat ditiru. 

“Hanya satu jenis ngauman digunakan dalam semua filem raksasa itu, cuma diperlahankan. Kami ada cuba menghasilkan semula bunyi yang sama namun tidak menjadi,” katanya. 

Tambah pengarah filem bajet sains fiksyen Monster itu, elemen wajah Godzilla dihasilkan daripada gabungan beberapa haiwan iaitu beruang, anjing dan burung helang. 

“Filem ini paling susah dihasilkan sepanjang karier saya, namun hasilnya amat berbaloi. Godzilla adalah contoh sesuai untuk menghasilkan filem konsep raksasa,” katanya. 

Tambah Edwards, keindahan persekitaran bandar Vancouver di Canada selain mempunyai kawasan teluk yang menyerupai San Francisco sesuai sebagai lokasi penggambaran filem raksasa itu. 

“Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk menghasilkan sekuel Godzilla kerana mahu melihat sambutan orang ramai terhadap filem ini dulu,” katanya. 

Sementara itu, saiz baru Godzilla mendapat kritikan hebat daripada peminat di Jepun yang merasakan raksasa itu gemuk dan terlalu besar berbanding saiz asalnya. 

Peminat tegar, Fumihiko Abe mengakui terkejut sebaik melihat saiz raksasa itu yang didakwanya gempal selain bahagian punggung terlalu besar. 

“Dalam versi filem God­zilla pertama Amerika Syarikat pada 1998 pula raksasa itu seperti seekor dinasaur yang bergerak pantas,” katanya ketika menghadiri Galeri Seni Godzilla di Tokyo baru-baru ini. 

Sejak 1954, sebanyak 28 versi filem Godzilla dikeluarkan syarikat produksi dan pengedaran Jepun, Toho Co Ltd. 

Selepas tayangan Godzilla: Final Wars pada 2004, Toho yang juga francais filem Godzilla mengumumkan tidak akan menghasilkan karya berkenaan raksasa itu dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Berikutan itu, Toho memusnahkan set peng­gambaran air yang digunakan untuk merakamkan pelbagai aksi babak raksasa terbabit. 


Trivia Godzilla 

Dalam filem ini, tubuh Godzilla dipenuhi kesan parut. Penampilan makhluk itu berdasarkan filem asal Godzilla pada 1954, sebagai tanda penderitaan mangsa yang terselamat daripada tragedi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Konsep ini memberi gambaran Godzilla dicipta menerusi senjata nuklear. 

Filem itu ditayangkan pada tahun ini sempena ulang tahun ke-60 Godzilla. 

Penata bunyi menggunakan pembesar suara setinggi 12 kaki dengan lebar 18 kaki untuk menghasilkan bunyi ngauman Godzilla pada 100,000 watt bagi memperoleh gambaran jelas mengenai kuasa serta kekuatan vokalnya. 

Terdapat 960 kesan visual penggambaran sepanjang jalan cerita itu dengan 327 daripadanya terdiri daripada 500,000 poligon model 3D Godzilla. Penggambaran visual itu mungkin memerlukan 450 tahun untuk disiapkan jika hanya satu komputer digunakan untuk mereka grafik makhluk itu. 

Ketika peng­gambaran filem Godzilla, sinematografer, Seamus McGarvey dengan tidak sengaja memasuki set peng­gambaran Dawn of the Planet of the Apes di Vancouver. Dia mendapati set itu hampir sama dengan set rakaman Godzilla yang akan digunakan hari itu. McGarvey menjelaskan dia berjalan di sekitar set itu sambil membawa alat pengukur cahaya tanpa mengenali sesiapa sebelum menyedari kesilapannya. 

Pengarah Gareth Edwards me­nyifatkan Godzilla sebagai anti-hero. Katanya, makhluk itu menggambarkan kemurkaan alam semula jadi. Tema filem itu adalah manusia melawan alam semula jadi namun manusia tidak dapat menang perjuangan mereka. Ke­nyataan itu antara mesej filem berkenaan dan Godzilla adalah hukuman terhadap manusia.